Tuesday 25 March 2014

Pencarian #MH370 Di Teruskan Biarpun Ada Negara Tarik Diri


KERAJAAN Malaysia akan terus komited menjalankan operasi misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 biarpun ada negara luar yang membantu menarik diri daripada operasi berkenaan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia akan tetap diteruskan dengan bantuan pakar-pakar daripada Perancis yang berpengalaman sebelum ini mengesan kotak hitam pesawat Air France penerbangan AF447 yang terhempas pada 2009.

“Tetap..kita akan teruskannya bersandarkan kepada kepakaran daripada pihak Perancis.. dalam hal ini saya telah berjumpa dengan mereka tentang cara dan cabaran yang mereka terpaksa lalui dalam masa dua tahun untuk mencari kota hitam Air France.

“Maklumat itu telah pun dikongsi bersama dengan kita dan dikongsi bersama pasukan yang telah kita agihkan tanggungjawab samaada ianya berkisar kepada keluarga, berkisar dengan teknologi mencari di lautan dalam atau berkaitan aset-aset yang lebih moden,” kata Hishammuddin dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan ke atas mesin simulasi pesawat yang diambil daripada rumah juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ketika ini pihaknya masih menunggu maklumbalas daripada rakan siasatan dari agensi risikan luar negara yang membantu dalam siasatan berkaitan simulator berkenaan.

Menurut beliau, pada saat ini pihaknya masih belum bersedia berkongsi sebarang makluma yang diperolehi kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan polis.

“Kita tidak bersedia lagi untuk mendedahkan apa maklumat yang didapati kerana bimbang ianya akan mengganggu siasatan yang kita jalankan,” kata Khalid dalam sidang media yang sama.

Khalid berkata fokus utama PDRM masih tidak berubah kepada empat seperti sebelum ini.

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya. – MYNEWSHUB.MY

No comments:

Post a Comment